top of page

Spektrum Kecelaruan Autisme (Autisme Spektrum Disorder atau ASD)

Updated: Jun 1, 2023



Autisme berasal daripada perkataan 'autos' yang bererti diri sendiri dan 'isme' yang bererti aliran. Perkataan 'autistic' dihasilkan oleh Eugen Bluelern, seorang ahli psikiatri pada tahun 1908. Autisme ialah sejenis kecelaruan neurologikal yang menjejaskan perkembangan individu dari segi komunikasi sosial dan tingkah laku. Kecelaruan neurologikal bermakna saraf deria (seperti pendengaran, penglihatan dan rasa) memproses maklumat secara berbeza berbanding insan normal. Contohnya, kanak-kanak autisme sangat sensitif pada sesuatu jenis bunyi hingga menyebabkan gangguan emosi dan seterusnya menghasilkan perilaku yang aneh.


ree



Etiologi

Sebab yang tepat bagi autisme masih belum ditemui, namun terdapat kaitan dengan faktor keturunan, persekitaran dan biologi. Autisme bukan suatu penyakit. Maka autisme tidak boleh berjangkit dan tidak boleh dikategorikan sebagai golongan yang berisiko. Di samping itu, kita juga perlu tahu bahawa autisme boleh dialami oleh mana-mana insan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama. Kita juga harus faham bahawa autisme bukan disebabkan oleh cara ibu bapa membesarkan anak- anak. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk kita mengasingkan diri daripada golongan autisme. Malah, kita perlu sedar bahawa kanak-kanak autisme memerlukan pendekatan yang berbeza dan sesuai bagi membantu perkembangan pengurusan diri, interaksi sosial dan pendidikan.


Jenis-jenis

Kanak-kanak autisme menghadapi masalah perkembangan bahasa, komunikasi sosial dan mempunyai tingkah laku yang terhad atau berulang. Bagaimanapun, setiap kanak-kanak autisme adalah unik. Kita tidak boleh membuat rumusan bahawa semua kanak-kanak autisme mempunyai ciri-ciri yang sama kerana masalah yang dihadapi adalah berbeza. Oleh itu, kanak-kanak autisme boleh dikategorikan kepada lemah, sederhana dan tinggi berdasarkan masalah yang mereka hadapi.


Diagnos

Autisme hadir pada peringkat awal kanak-kanak dan boleh didiagnosis menjelang umur 18 bulan. Kajian Centre of Disease Control, USA menunjukkan setiap 68 orang kanak-kanak, terdapat seorang kanak-kanak autisme. Manakala, kanak-kanak lelaki mempunyai kemungkinan mendapat autisme lebih empat kali berbanding kanak-kanak perempuan. Namun tiada ciri fizikal yang boleh dilihat bagi autisme. Perbincangan tentang ASD telah mendapat perhatian ramai dewasa ini kerana dianggarkan lebih kurang 9,000 orang kanak-kanak di Malaysia dilahirkan autisme setiap tahun. Oleh itu, intervensi awal untuk kanak-kanak autisme adalah perlu supaya mereka berjaya dalam hidup.

Oleh sebab autisme merupakan kecelaruan spektrum, tidak semua kanak-kanak menunjukkan simptom yang sama. Simptom ini perlu dikenal pasti pada peringkat awal bagi menyediakan intervensi secepat mungkin. Tanda-tanda autisme adalah seperti berikut:

a. Kekurangan Perkembangan Bahasa

i. Tidak bercakap atau perkembangan percakapan yang lambat


ii. Menunjukkan percakapan yang luar biasa (mengulangi ayat atau membuat bunyi yang pelik)


iii. Sebarang kehilangan kemahiran percakapan pada mana-mana usia


iv. Cara bercakap yang menghafal atau secara membaca skrip/mungkin


bercakap seperti kartun atau dalam loghat asing


V. Tidak memberi respons apabila nama dipanggil


vi. Menghadapi kesukaran dalam melakukan perbualan biasa

b. Kekurangan Perkembangan Kemahiran Sosial

i. Tidak meniru pergerakan orang dewasa ii. Menunjukkan minat terhadap kanak-kanak lain tetapi tidak tahu cara berinteraksi yang sewajarnya dengan mereka dan mungkin dipencilkan iii. Hubungan mata yang terhad atau tidak konsisten


iv. Tidak menunjukkan komunikasi tak verbal yang sesuai dengan umur atau memahami komunikasi tak verbal orang dewasa v. Tidak berminat dengan kanak-kanak lain vi. Tidak berkongsi minat dengan orang dewasa dan tidak memandang pada objek yang ditunjukkan oleh orang dewasa

c. Tingkah Laku yang Terhad atau Berulang

i. Pergerakan motor yang berulang (contohnya menggebar atau menguit tangan, berpusing, melompat dan sebagainya) ii. Menunjukkan kedegilan dalam mana-mana situasi (contohnya amat cemas dengan perubahan, mahu memakai pakaian yang sama setiap hari)


iii. Permainan yang berulang (contohnya menyusun, memusingkan benda , menyimpan dan sebagainya)


iv. Terlebih/kurang peka kepada kawasan deria seperti sakit, bunyi, cahaya, suhu, tekstur atau pergerakan. Kanak-kanak mungkin tidak berhenti-henti menghidu, menjilat atau menyentuh sesetengah objek


v. Percakapan yang stereotaip (ekolalia atau mengulangi secara tidak sedar perkataan yang telah dituturkan oleh orang lain, menghafal frasa dan sebagainya)


vi. Minat secara obsesi (ditunjukkan oleh obsesi terhadap sesetengah objek, minat atau tajuk)

Bagaimana Membantu Kanak-kanak Autisme untuk Berjaya?

Tanggungjawab untuk menjadikan kanak-kanak Autisme berjaya tidak hanya terletak kepada ibu bapa dan guru semata-mata. Kanak-kanak Autisme perlu menerima rawatan daripada pasukan pelbagai displin seperti psikologi kanak- kanak, pakar terapi pertuturan, pakar terapi pekerjaan, fisioterapi, intervensi pendidikan, pakar psikologi kanak-kanak serta pakar kanak-kanak.

Panduan untuk Membantu Kanak-kanak Autisme

Keprihatinan daripada masyarakat turut dituntut untuk membantu kanak-kanak Autisme berjaya. Maka, panduan tentang kaedah untuk membantu perkembangan kanak-kanak Autisme adalah penting untuk dilaksanakan.


Comments


bottom of page